Sebagai hamba Allah yang lemah, aku banyak melakukan kesilapan dalam hidup sehari-hari. Kadangkala aku diselubungi rasa tidak selesa, kecewa, marah dan geram apabila hati terasa.
'Aku saja yang menjadi sasaran'.
Aku selalu bertanya kepada diri, 'Kenapa aku yang mesti menghadapi semua ini?'
Banyak persoalan di minda yang datang tentang 'Kenapa' dan 'Mengapa'...itu semua pasti tipu muslihat syaitan untuk mengganggu hati kita ini. Aku sedar itu adalah antara petanda hati ini belum redha sepenuhnya. Pastinya keikhlasan yang kita mahu dalam setiap keredhaan keranaNya.
Bagaimana untuk belajar redha pada sesuatu? Mungkin asalnya kita perlu mengetahui erti redha itu sendiri. Redha dengan ketentuan yang Allah berikan kepada kita dan percaya Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik, InsyaAllah. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji.
Lepas ini, InsyaAllah sebelum membuat sesuatu, tanyalah pada iman dalam diri, adakah perbuatan kita itu akan mendapat REDHA atau MURKA Allah? Peringatan untuk diri saya yang lemah ini. Ya Allah bantulah aku...
Allah berikan aku ujian demi ujian...dalam setiap ujian itu, bersabarkah aku? Ya Allah, berikanlah kesabaran kepadaku seperti mana Kau berikan kesabaran kepada hamba-hambaMu yang syahid di medan peperangan kerana mempertahankan agamaMu. Adakah aku sekuat itu? Kuatkanlah imanku...aku memohon keredhaanMu dalam meniti setiap inci kehidupan di bumi milikMu ini Ya Allah. Ampunilah aku...
Redhakanlah aku untuk mengharungi segala ujianMu...
*Semoga bermanfaat*
No comments:
Post a Comment